SEMENYIH – Zara Zakiah Education Sdn. Bhd. (Zara Zakiah Education) mengunjurkan seramai 200 pelajar baharu bakal mengikuti program penghantaran pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang profesional menjelang tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Shamsudin berkata, jumlah sasaran tersebut bakal dicapai memandangkan minat pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara masih tinggi meskipun terdapat banyak tawaran menarik untuk melanjutkan pelajaran dalam negara oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) .
“Apa yang lebih menarik, bilangan ibu bapa dalam kalangan isi rumah berpendapatan sederhana menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran ke luar negara semakin bertambah masa kini.
“Sebenarnya tidak timbul persepsi hanya anak-anak daripada golongan kaya atau berada layak melanjutkan pelajar di luar negara.
“Tetapi kini sudah ramai keluarga sederhana mampu menyediakan anggaran perbelanjaan untuk tujuan berkenaan dengan kos tidak melebihi RM200,000 bagi tempoh lima tahun.
“Bayaran tersebut termasuk kos yuran universiti, tempat tinggal, makan minum serta tiket kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sijil kepada peserta Program Kem Motivasi-Education Adventure (Eduventure) di Semenyih Ecoventure Resort and Recreation di sini baru-baru ini.
Zara Zakiah Education yang mula beroperasi sejak 15 tahun lalu menawarkan perkhidmatan sehenti kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, matrikulasi dan diploma dari IPTA dan IPTS melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang diminati.
Perkhidmatan tersebut melibatkan proses semakan kelayakan akademik, menyediakan universiti yang sesuai dengan kursus, asrama atau kemudahan tempat tinggal, perjalanan ke luar negara diiringi pegawai syarikat sehingga ke negara yang dituju selain dibantu oleh pelajar senior sedia ada di sana.
“Wakil kakitangan turut ditempatkan di setiap negara bagi membolehkan pelajar di bawah pengurusannya dibantu sekiranya mereka berdepan dengan masalah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, sebanyak 100 pelajar bakal melanjutkan pelajaran pada tahun ini dalam bidang perubatan, pergigian, veterinar, farmasi dan pengajian Islam.
Antara negara pilihan adalah Mesir, Russia, Indonesia, Australia dan Bangladesh. -KOSMO!ONLINE
Add a comment