BLOG

PENGALAMAN PULANG KE TANAH AIR KETIKA PANDEMIK COVID-19

Pengalaman Pulang Ke Tanah Air Ketika Pandemik Covid-19

Pengalaman Pulang Ke Tanah Air Ketika Pandemik Covid-19

Bila terjadinya sesuatu peristiwa sama ada bencana alam atau pandemik penyakit yang melibatkan nyawa pastinya akan menimbulkan kerisauan bagi setiap individu. Perkara ini juga tidak terkecuali bagi individu yang berada di luar negara. Jika diberi kesempatan untuk pulang ke tanah air, iaitu Malaysia, pastinya para pelajar ini akan pulang. Tanpa membuang masa, berikut merupakan perkongsian pengalaman membawa pulang pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir. Para pelajar ini ada yang sedang megikuti pengajian perubatan, pergigian, pengajian Islam, pengajian peringkat sekolah menengah (Ma’had Buuth) bahkan ada juga graduan universiti. Mari kita ikuti.

1. Saat Penularan Pandemik Covid-19

Para pelajar yang melanjutkan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Perubatan atau MBBS di Mesir bagi pengambilan 2019 telah selamat tiba di Mesir pada 29 September 2019, iaitu 3 bulan sebelum tercetusnya penyebaran penyakit berjangkit ini. Penularan Covid-19 bermula pada akhir bulan Disember 2019 di China, dan mula dikesan di Malaysia pada 23 Januari 2020 menerusi pelancong warganegara China yang menunjukkan simptom penyakit yang serupa. Manakala, kes pertama Covid-19 di Mesir telah dikesan pada 14 Februari 2020 dan korban pertamanya adalah pada 3 Mac 2020. Penularan ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar kerana masih belum ada vaksin yang boleh membantu. Jikalau ada pun, setiap negara akan mendahulukan rakyat mereka terlebih dahulu, baru dibuka atau diberikan kepada orang luar.

2. Mengumpul Maklumat dan Pendapat

Tindakan pertama yang perlu dilakukan bagi keadaan sebegini adalah mencari maklumat dari sumber yang benar antaranya adalah persoalan seperti: “Adakah masih selamat jika terus tinggal di Mesir?”, “Bagaimana dengan kelas dan makluman daripada universiti?” dan “Bagaimana pula prosedur untuk pulang ke Malaysia?” Pada ketika ini, universiti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada kelas dibatalkan, pelajar dibenarkan pulang ke negara masing-masing atau diadakan kelas secara maya. Keadaan ini bertambah teruk rentetan peningkatan kes positif Covid-19 di Mesir, kerajaan Mesir telah melaksanakan lockdown. Lockdown ini bermula pada jam 6.00 petang hingga 6.00 pagi dan pihak berkuasa akan membuat rondaan bagi memastikan setiap individu menurut arahan. Lockdown ini pada mulanya tidak begitu ketat, kerana aktiviti berjalan seperti biasa pada waktu siang dan tiada penjarakan sosial, hanya waktu beroperasi sahaja yang berubah. Perkara ini membimbangkan para ibu bapa di Malaysia. Persatuan Ibu Bapa, iaitu para ibu bapa yang telah menghantar anak mereka ke Universiti Mansoura atau Universiti Alexandria melalui Zara Zakiah Education Sdn. Bhd. bagi program MBBS dan BDS berbincang menerusi group whatsapp sebulat suara bersetuju untuk membawa para pelajar ini pulang.

3. Pengurusan Kapal Penerbangan

Setelah berbincang, pihak Zara Zakiah Education Sdn. Bhd. dan Persatuan Ibu Bapa telah mencapai kata sepakat untuk menyewa sebuah kapal penerbangan sebagai solusi membawa para pelajar ini yang majoritinya merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Pergigian dan Pengajian Islam di Mesir. Pastinya, pada ketika ini Malaysia sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat pertama, iaitu setiap rakyat Malaysia tidak dibenarkan keluar rumah selama dua minggu. Pelaksanaan PKP ini juga salah satu kekangan bagi mendapatkan kelulusan mebawa pulang para pelajar ini. Hal ini kerana, menyewa atau chartered flight bukanya mudah, perlu mendapat kelulusan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu seperti kelulusan untuk mendarat, kelulusan membawa sebilangan besar pelajar dari Mesir dan kesediaan sukarelawan dalam Malaysia untuk menguruskan para pelajar ini setelah tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Setelah selesai segala kertas kerja, cadangan dan surat menyurat, akhirnya Persatuan Ibu Bapa ini berjaya menyewa atau chartered flight AirAsia X pertama bagi misi kemanusiaan Covid-19. Alhamdulillah, maka bermulalah proses tempahan tiket penerbangan kali pertama ini.

4. Langkah Pencegahan dan Persiapan Pulang

Walaupun sudah selesai pembelian tiket untuk pulang, tetapi langkah pencegahan juga harus dijaga. Pertama sekali, setiap penumpang haruslah membuat screening atau medical checkup yang menyatakan mereka bebas daripada sebarang simptom Covid-19. Agak mencabar juga, kerana penumpang begitu ramai, namun proses pemeriksaan terhad kepada beberapa orang sahaja sehari. Malah, masih ada juga klinik atau pusat kesihatan yang tidak beroperasi sepenuhnya di Mesir. Alhamdulillah, proses ini dipermudahkan kerana kerja sama yang diberikan oleh para pelajar program perubatan atau MBBS dan pergigian di Mesir yang faham akan prosedur yang patut dipatuhi. Pemeriksaan mengambil masa selama 3 hari, kerana jumlah pelajar yang melebihi 300 orang. Malah, para pelajar juga dinasihati untuk menjaga kesihatan, kerap minum air dan mengambil suplemen Vitamin C untuk meningkatkan imuniti badan dan mencegah sebarang jangkitan penyakit, tambahan pula cuaca di Mesir pada ketika ini agak panas berbanding di Malaysia.

5. Selamat Pulang Rakyat Malaysia

Detik yang dinanti-nantikan adalah saat untuk pulang ke tanah air dengan penyediaan pengangkutan untuk ke lapangan terbang Kaherah, Mesir. Para pelajar diagihkan ke beberapa buah bas dan bekalan makanan untuk perjalanan yang agak jauh. Kebanyakan pelajar adalah dari daerah Mansurah, Iskandariah (Alexandria), Zaqaziq dan Kaherah sendiri. Tambahan pula, hari penerbangan pulang ini merupakan sehari sebelum hari pertama puasa bulan Ramadan. Setibanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, para pelajar ini sudah mula berpuasa dan para sukarelawan seperti paramedik dan polis sudah bersedia untuk membuat saringan pertama. Ketibaan pelajar di lapangan terbang KLIA kira-kira jam 5.00 pagi dan para pelajar mengamalkan penjarakan sosial 1 meter untuk saringan dan pengasingan. Bagi individu yang normal tanpa gejala akan ditempatkan pada satu tempat kuarantin. Pada ketika ini pelajar menjalani kuarantin di hotel yang terletak di Kuala Lumpur. Kos penginapan masih lagi ditanggung kerajaan. Manakala yang disyaki dan bergejala akan dibawa terus ke Hospital Sungai Buloh.

Setelah selesai saringan, para pelajar dibawa ke hotel bagi proses kuarantin selama 14 hari. Sepanjang tempoh ini, setiap pelajar haruslah disaring sebanyak 3 kali sehingga keputusan mereka benar-benar negatif. Ketika kuarantin, pelbagai aktiviti disediakan bagi mengurangkan rasa bosan serta makanan berbuka juga disediakan. Sebarang pesanan makanan luar tidak dibenarkan atas sebab keselamatan. Meskipun begitu banyak cabaran, para pelajar mengambil kesempatan kuarantin selesa ini untuk mengulangkaji pelajaran seperti silibus pengajian perubatan, pergigian dan thesis pengajian islam mengikut program pengajian masing-masing. Selesai 14 hari sesi kuarantin, para pelajar dibenarkan pulang bersama ibu bapa. Terdapat juga sekumpulan pelajar yang berjaya meminta bantuan daripada kerajaan negeri masing-masing untuk mendapatkan pengangkutan pulang (bas) ke kampung halaman. Alhamdulillah, para pelajar ini sampai ke kampung halaman dengan selamat.

Secara tuntasnya, setiap proses untuk pulang ke tanah air bukannya mudah terutama ketika ketiadaan kapal terbang dan kebolehan penerbangan buat sementara waktu. Setiap proses ini mengambil masa yang agak lama dari segi permohonan, kertas kerja dan follow up keputusan. Setiap proses dan langkah ini tidak akan mudah tanpa wakil atau agensi di luar negara bagi menguruskan pelajar di Mesir. Dari segi pemeriksaan kesihatan, pengurusan pengangkutan dan penempahan kapal terbang adalah 100% diuruskan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa bersama Zara Zakiah Education Sdn. Bhd. Zara Zakiah Education merupakan sebuah agensi 100% milikan bumiputera yang membantu para pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara bagi program Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Pergigian, Veterinar dan Pengajian Islam. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi kami di talian 013-312 0560 (www.wasap.my/60133120560)  atau menerusi emel management.zze@gmail.com.


Posted 3 years ago
News

Comments

No comments yet! Why don't you be the first?
Add a comment

CATEGORIES